Perpaduan Melayu-Islam, tanggungjawab UMNO dan PAS
Syukurlah Alhamdulillah kurniaan segala nikmat Allah SWT, Tuhan yang Agong, tuhan memerintah sekalian alam.
Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan meraikan Eid Ul Fitr 1430H. Sukalah saya mengambil peluang ini untuk mengajak saudara muslimin-muslimat khususnya dikalangan Melayu-Islam di tanahair tercinta ini beristiqamah dan memikirkan sejenak akan nikmat perpaduan.
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
Maksudnya
‘Sesungguhnya orang yang mukmin itu bersaudara di antara satu dengan yang Lain.’
(Surah al-Hujurat : 10)
‘Wahai manusia sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.
(Surah al-Hujurat: 13)
Melalui seruan Ilahi yang Maha Suci itu marilah kita bersama-sama semua ummah khususnya di tanah air tercinta ini memperkukuhkan tali persaudaraan, hubungan silahturrahim supaya kita dapat membina sebuah negara bangsa yang berjaya.
Pesanan ini juga sebenarnya saya lebih khususkan kepada muslimin-muslimat, Melayu-Islam diantara pemimpin-peminpin, ahli-ahli dan para penyokong kedua-dua parti politik yang mewakili sebahagian besar ummah Melayu-Islam iaitu UMNO dan PAS. Betapa pentingnya perpaduan diantara kita untuk menjamin kesinambungan kejayaan pada masa akan datang.



leave a comment