Fahd’s Blog

Babi yang haram

Posted in Social Interactions by alfahd on 2009/05/25

Al-Qur’an banyak memberi amaran kepada manusia yang mengkufuri dan melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. dengan pelbagai ancaman. Antara ancaman tersebut ada yang berbentuk kesengsaraan di dunia dan ada yang berbentuk kesengsaraan di akhirat.

Wabak JE

Japanese Encephalitis atau akronimnya JE, merupakan sejenis penyakit berjangkit bawaan.

Ia disebabkan oleh virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Culex.

Virus JE membiak di dalam tubuh khinzir. Apabila nyamuk betina Culex menghisap darah khinzir, ia membawa bersama virus JE. Manusia boleh mendapat jangkitan JE jika digigit oleh nyamuk Culex yang membawa virus.

Ia boleh menyebabkan keradangan serius pada membran atau selaput yang mengelilingi otak, seterusnya mengakibatkan kerosakan otak kekal dengan kadar mortaliti maut yang tinggi.

Wabak JE paling buruk pernah melanda negara ini di Negeri Sembilan, pada tahun 1998 hingga 2000. Dalam tempoh tersebut hampir 85 kematian telah dicatat.

Wabak Selsema Babi atau Influenza A H1N1

Wabak Selsema Babi adalah kombinasi daripada tiga virus iaitu Virus Selsema Burung, Virus Selsema Manusia dan Virus Selsema Babi. Virus ini menyerang sistem pernafasan disebabkan oleh virus selsema jenis A (H1N1)

Wabak ini mudah berjangkit melalui sentuhan langsung dengan babi atau pemindahan virus selsema babi kepada manusia dan manusia sesama manusia.

Kajian

Menurut pengkaji, kuman-kuman virus daripada babi ini mampu berubah menjadi lebih berbahaya dari semasa ke semasa.

Menurut kajian saintis, memakan daging babi menyebabkan seseorang boleh dihinggapi hampir 70 jenis penyakit.

Peringatan

Justeru sejak 1430 tahun hijrah lalu, al-Qur’an telah memperingatkan sebanyak empat kali tentang pengharaman babi yang akan membinasakan kehidupan manusia.

Firman Allah s.w.t.

Surah al-Baqarah ayat 173-172:

Wahai orang yang beriman ! makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadah kepada-Nya. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani ”.

Surah al-Maidah ayat 3:

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan) kamu mengundi nasib dengan anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.”

Sabda Rasulullah SAW

Daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : Wahai Kaab bin ‘Ujrah Sesungguhnya seseorang tidak akan masuk syurga jika terdapat daging yang tumbuh di dalam tubuh badannya daripada sumber yang haram. ( Riwayat Ad-Darimi )

Kesimpulan

Allah s.w.t. mengharamkan sesuatu perkara mempunyai hikmah yang tertentu. Antaranya, bertujuan membuktikan perhambaan diri kepada Allah azza wa jalla dan menyelamatkan manusia daripada kerosakan.

Yakinlah bahawa Islam adalah agama Allah yang benar, memenuhi keperluan fitrah setiap manusia.